KUALA LUMPUR – Projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, melibatkan jajaran sepanjang 107.41 kilometer dari Kuala Krai hingga Gua Musang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek berkenaan melibatkan 10 subpakej di Kelantan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.08 bilion.
Menurut beliau, semua subpakej di negeri itu kini berada dalam fasa pelaksanaan, manakala empat subpakej LTU di jajahan Gua Musang disasarkan siap pada penghujung 2028.
Katanya, kerajaan memberi perhatian serius terhadap usaha mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan, termasuk menangani kelewatan pembinaan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan.








