Kuala Lumpur: Lebih satu daripada 10 lelaki mengakui pernah berhutang semata-mata untuk keluar janji temu atau dating.

Berdasarkan dapatan Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia yang dikendalikan LEGASI Research, 13.2 peratus responden lelaki mengakui pernah berhutang untuk janji temu berbanding 4.9 peratus responden wanita.

Malah, hampir separuh responden tinjauan itu menganggap kos janji temu ketika ini mahal dengan 49.3 peratus menyifatkan aktiviti itu memerlukan perbelanjaan tinggi manakala hanya 13 peratus berpendapat sebaliknya.

Tinjauan itu juga menunjukkan perbelanjaan janji temu berpotensi menjadi komitmen kewangan yang membebankan khususnya bagi golongan muda yang sedang membina hubungan dan mengurus kewangan sendiri.