Mumbai: Seorang lelaki yang kelihatan lumpuh ketika mengemis di tepi jalan mencetuskan tanda tanya apabila tiba-tiba bangun dan melarikan diri selepas ditawarkan suntikan dalam rakaman video tular, lapor Free Press Journal (FPJ).

Kejadian luar biasa itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan ramai mempersoalkan keadaan fizikal lelaki berkenaan serta apa yang sebenarnya berlaku.

Menerusi video berkenaan, individu yang merakam dilihat menghampiri lelaki terbabit sebelum bertanyakan beberapa soalan mengenai keadaannya yang kelihatan sukar bergerak.

Perakam turut bertanya mengenai punca masalah kesihatan itu, sama ada lelaki berkenaan pernah mendapatkan rawatan perubatan serta lokasi dia menjalani pemeriksaan kesihatan.