Kuala Lumpur: Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) mengambil langkah proaktif memperkukuh tadbir urus organisasi dengan melaksanakan segala syor penambahbaikan tadbir urus yang dipersetujui bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Susulan pelaksanaan menyeluruh langkah itu, SPRM secara rasmi menamatkan pemantauan tadbir urus terhadap HRD Corp dan memberikan status 'selesai' menerusi surat rasmi diterima pada semalam.
Pengerusi HRD Corp Datuk Rusli Jaafar berkata, pencapaian itu mencerminkan sokongan penuh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan yang memberikan komitmen kepimpinan serta kerjasama dan sokongan SPRM sepanjang proses berkenaan.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap hala tuju organisasi agensi peneraju pembangunan modal insan Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi kepimpinan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz.










