Shah Alam: Ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu RM1.65 juta bagi pembelian sebuah dusun durian di Raub, Pahang pada 2024.

Tertuduh, Chan Huann Heng, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, Huann Heng didakwa menipu seorang lelaki iaitu pengarah dan pengerusi sebuah syarikat berusia 66 dengan memperdayakannya bagi menyerahkan wang membabitkan invois sebuah syarikat melalui pindahan akaun berjumlah RM1.65 juta, bagi tujuan pembelian sebuah dusun durian di Raub, Pahang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.