JOHOR BAHRU: "Saya terkejut dapat tahu (ayah ditetak), tak tahu apa punca," kata kata anak sulung peneroka FELDA yang maut dibunuh di FELDA Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun yang enggan namanya didedahkan itu berkata dia tinggal di Pengerang, Kota Tinggi, bergegas pulang ke kampung selepas dimaklumkan kejadian itu oleh rakan.

"Masa kawan telefon, saya cuma dapat tahu ada orang mengamuk dan ayah jadi mangsa. Saya tak pasti apa berlaku sebenarnya.

"Setahu saya, suspek muda lagi, ayah saya pula 68 tahun. Jadi, saya rasa mereka tidak saling mengenali pun. Walaupun tinggal sekampung, jarak rumah masing-masing jauh," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang (HPG) hari ini.