GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang meletakkan tanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa seorang doktor berusia 73 tahun kepada pemaju dan pemilik tanah bagi projek kondominium serta jalan raya itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, turut memberi amaran bahawa tindakan itu boleh membawa implikasi undang-undang.

Menurut beliau kejadian tanah runtuh itu berlaku dalam kawasan tanah milik pemaju, sekali gus menjadikan pihak terbabit bertanggungjawab terhadap segala akibat insiden berkenaan, aspek keselamatan tapak serta langkah-langkah mitigasi yang perlu diambil.

Kelmarin, Dr Wong Kar Lin, maut selepas bahagian belakang rumahnya dihempap runtuhan tanah dalam kejadian di Taman Seri Rambai, Paya Terubong.