GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjalankan siasatan segera berhubung kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini sehingga mengorbankan seorang warga emas, hari ini.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan berikutan kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tanah runtuh dan turut menempatkan kerja pemotongan bukit bagi projek pembinaan jalan raya.
Menurutnya, penduduk serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini telah memberi amaran bahawa kerja-kerja berskala besar di kawasan sensitif alam sekitar itu boleh mengancam keselamatan penduduk berhampiran dan orang awam.
”Malangnya, kejadian ini sekali lagi membuktikan kebimbangan yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.








