SEBERANG PERAI – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan bagi menandatangani perjanjian pinjaman berjumlah RM1.5 juta, tujuh tahun lalu.

Pon Chee Weng, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Sharifah Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun dengan memperdayakannya supaya menandatangani satu perjanjian pinjaman yang menyatakan tertuduh telah memberikan pinjaman sebanyak RM1.5 juta kepada mangsa, sedangkan wang berkenaan tidak pernah disalurkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kota Permai, Bukit Mertajam pada 11 Mei 2019. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.