Sepang: Kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi menerusi pemindahan daripada tong 14 kilogram (kg) ke tong komersial 50kg terbongkar selepas sebuah stor haram di ladang kelapa sawit di sini digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, hari ini.
Serbuan menerusi Op Tiris 4.0 yang bermula jam 9 pagi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki, selain rampasan kira-kira 207 tong LPG pelbagai jenama dengan jumlah berat gas mencecah 1,600kg serta sebuah lori bonded.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari, berkata serbuan itu dilakukan hasil risikan selama sebulan yang mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan pemindahan gas bersubsidi atau 'decanting' secara haram.









