GEORGETOWN: GERAKAN Pulau Pinang mendesak semua projek pembangunan lereng bukit di negeri ini dihentikan sementara, selain menggesa polis menyiasat proses kelulusan projek yang dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang doktor, kelmarin.
Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong, berkata pihak berkuasa perlu mengenal pasti sama ada wujud kecuaian atau salah laku dalam proses kelulusan dan pemantauan projek berkenaan, lebih-lebih lagi apabila penduduk didakwa sudah membantah pembangunan itu sebelum kelulusan diberikan.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti semua projek pembangunan lereng bukit di Pulau Pinang, khususnya dari segi pematuhan terhadap syarat keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP).









