Kuala Lumpur: Buruh binaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, April lalu.

Muhammad Aniq Mohd Jafri, 25, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menunjukkan kemaluannya kepada mangsa bagi tujuan seksual dalam lif sebuah kondominium di Taman Danau Desa, antara jam 6.30 petang hingga 6.50 petang, 1 April lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.