MACHANG – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas kesalahan tunjuk kemaluan kepada seorang wanita pada minggu lalu.Pengakuan itu direkodkan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid selepas pertuduhan terhadap remaja itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan melondehkan seluar sehingga menampakkan kemaluannya kepada wanita sudah berkahwin itu di atas Jambatan Kampung Sungai Sok, Kuala Krai jam 1 petang pada 20 Oktober lalu.Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.Mahkamah menetapkan 18 November ini untuk fakta kes dan hukuman serta mendapatkan laporan akhlak tertuduh oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.Peguam Mohd Azrizal Hamzi yang mewakili remaja itu memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar yang tidak membebankan keluarga tertuduh.Dalam rayuannya, Mohd Azrizal memaklumkan anak guamnya yang sudah tidak bersekolah itu membantu keluarga dengan melakukan kerja kampung termasuk upah memotong rumput dan memperoleh pendapatan tidak menentu antara RM20 hingga RM50 sehari."Tertuduh juga sudah berkahwin dan menanggung isterinya yang berusia 14 tahun," katanya.Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.Majistret turut mengingatkan tertuduh supaya hadir ke mahkamah pada setiap tarikh prosiding bersama penjaganya.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hazim Aqifullah Mohd Amran.Tertuduh dibebaskan selepas membayar wang jaminan.