SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menyelamatkan hasil negara daripada ketirisan menerusi rampasan bernilai RM322.74 juta sehingga Oktober tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah rampasan itu meningkat empat kali ganda berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pengoperasian AKPS walaupun agensi berkenaan masih beroperasi pada kadar kekuatan awal.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa AKPS bukan sekadar instrumen penguatkuasaan undang-undang, tetapi adalah Benteng Fiskal Negara,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Kedua AKPS di sini, hari ini.






