KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak berhenti memperkukuh pengawasan, rondaan serta kesiapsiagaan bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat dan terbuka, susulan risiko ketegangan geopolitik yang boleh mengganggu laluan perdagangan strategik itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa disesuaikan dengan perkembangan keselamatan semasa, termasuk melalui kerjasama serantau dengan Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Pengawasan, perkongsian maklumat, kerjasama serantau dan diplomasi akan terus diperkukuh bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat, stabil dan terbuka demi kepentingan negara serta kelancaran perdagangan antarabangsa," katanya.