KANGAR – Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan mencabul dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian di sebuah rumah di sini, Ogos lalu.

Tertuduh, Annuar Abdullah, 72, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarifah Norazlita Syed Salim Idid.

Dia berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Warga emas itu turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.