Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Firdhaus Farmizi, 27, menganggap pengiktirafan antarabangsa menerusi The Knights Award Season 5: A World of Influence amat bermakna terhadap usaha dan perjalanannya dalam industri muzik.
Firdhaus yang mencipta nama dalam arena muzik Mandopop dipilih sebagai antara personaliti Malaysia yang menerima anugerah pada majlis berprestij itu, baru-baru ini sekali gus mengiktiraf pencapaiannya mengembangkan kerjaya muzik ke peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, Firdhaus mengakui perjalanan untuk mencapai kejayaan itu bukan mudah, sebaliknya memerlukan usaha, ketekunan dan kerja keras yang berterusan.
"Ia susah. Bagi saya, memang ada banyak naik turun dalam perjalanan kerjaya ini. Namun, saya bersyukur, Alhamdulillah, Allah berikan semua ini di sebalik kerja keras saya.






