Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melanjutkan tempoh untuk memfailkan rekod rayuan dalam rayuannya berhubung fatwa Selangor.

Peguam GISBH Zulkikri Ulul Azmi memohon lanjutan tempoh itu semasa prosiding dengan memaklumkan bahawa rekod rayuan berkenaan difailkan lewat 27 hari.

Beliau berkata, pihaknya tidak menyedari bahawa draf indeks belum dikemukakan, namun kesilapan itu telah dibetulkan.

Sehubungan dengan itu, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun membenarkan permohonan itu serta memerintahkan GISBH membayar kos guaman RM5,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).