Kuala Lumpur: Siapa sangka kereta Proton yang mula menembusi pasaran United Kingdom (UK) pada 1987, masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat automotif negara itu, termasuk seorang lelaki warga Britain yang menjadikan model keluaran Malaysia itu sebagai koleksi peribadinya.

Jon Coupland, yang bertugas sebagai anggota polis dan menetap di Boston, Lincolnshire, kini memiliki enam kereta Proton kerana tertarik dengan keunikan reka bentuk yang jarang ditemukan lagi pada ketika ini.

Keinginannya untuk mula mengumpul jenama automotif itu apabila secara tidak sengaja menemui iklan sebuah Proton Saga 1.5 di laman web jual beli kenderaan terpakai sebelum mengambil keputusan membelinya pada 2019.

"Tanpa berlengah, saya terus pergi ke pusat jualan kenderaan itu dan membeli Proton Saga 1.5 sebelum membawanya pulang ke rumah.