Kuala Lumpur: Tan Sri Johari Abdul kecewa dengan tindakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mendedahkan permohonan mediasi kepada umum tanpa menunggu maklum balas beliau.
Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, sebelum ini beliau memberikan tempoh sehingga Khamis lalu, kepada Takiyuddin untuk menarik balik kenyataan kontroversi berhubung penggunaan perkataan "munafik", susulan aduan dikemukakan RSN Rayer (PH-Jelutong).
Johari berkata, Takiyuddin kemudian menghantar surat dan memaklumkan bahawa beliau enggan menarik balik kenyataannya serta mencadangkan mediasi membabitkan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, Rayer dan dirinya.
Katanya, surat berkenaan diterima pada jam 5 petang hari sama, namun beliau hanya membacanya pada keesokan harinya.








