KUALA LUMPUR: Sebarang kelulusan dan pelarasan peruntukan kerajaan perlu melalui prosedur kewangan ditetapkan dan direkodkan dalam sistem kerajaan, termasuk MyProjek serta Sistem Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan (iGFMAS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembayaran hanya boleh diproses selepas peruntukan disalurkan berdasarkan tuntutan dan pengesahan kerja oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Arahan menteri sahaja tidak membolehkan wang terus dibelanjakan. Kelulusan dan tatacara kerajaan tetap perlu dipatuhi.
"Bagi tahun 2023 hingga 2025, pertambahan peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) dibuat melalui pindahan peruntukan dalaman tanpa melebihi siling keseluruhan bajet pembangunan tahunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diluluskan," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.








