PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) melanjutkan tempoh pengisian markah bagi beberapa pentaksiran persekolahan dalam Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu (MOEIS) susulan gangguan sesi persekolahan dan pelaksanaan pentaksiran akibat jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tarikh akhir pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Peperiksaan Akhir Sesi Akademik (PAT/PASA) dilanjutkan selama seminggu, iaitu daripada 21 November kepada 28 November ini.
Selain itu, tarikh akhir pengisian markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) turut dilanjutkan daripada 30 November kepada 5 Disember ini.
"Dengan perlanjutan pengisian markah ini, diharapkan murid, guru dan ibu bapa serta penjaga akan lebih selesa bagi pelaksanaan proses pengisian markah dalam sistem MOEIS KPM kelak," menurut kenyataan itu.






