KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) – Bangladesh menggalakkan pengendali pelancongan dari kedua-dua negara bekerjasama membangunkan pakej pelancongan bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia berkunjung ke negara Asia Selatan itu.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Manjurul Karim Khan Chowdhury berkata dianggarkan 4,000 rakyat Malaysia melawat Bangladesh tahun lepas berdasarkan jumlah visa yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi negara itu, berbanding kira-kira 300,000 pelancong Bangladesh yang mengunjungi Malaysia setiap tahun.
Beliau berkata Bangladesh masih kurang dikenali dalam kalangan pelancong Malaysia dan kerjasama lebih erat antara pengendali pelancongan mampu meningkatkan kesedaran mengenai tarikan pelancongan negara itu.









