KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Firdhaus Farmizi, 27, menganggap pengiktirafan antarabangsa yang diterimanya menerusi The Knights Award Season 5: A World of Influence sebagai penghargaan bermakna terhadap usaha dan perjalanan seninya dalam industri muzik.

Firdhaus yang mencipta nama dalam arena muzik Mandopop dipilih sebagai antara personaliti Malaysia yang menerima anugerah pada majlis berprestij itu, baru-baru ini, sekali gus mengiktiraf pencapaiannya mengembangkan kerjaya muzik ke peringkat antarabangsa.

Majlis berkenaan menghimpunkan pemimpin, usahawan dan tokoh industri dari dalam serta luar negara, selain menjadi platform meraikan pencapaian dan sumbangan individu dalam pelbagai bidang.