KUALA LUMPUR: Dua anak syarikat TSH Resources Bhd yang diperbadankan di Singapura menerima notis daripada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) supaya menyerahkan dokumen dan maklumat berkaitan pencemaran jerebu rentas sempadan.

TSH Resources dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, dua anak syarikat berkenaan ialah TSH Oversea Pte Ltd dan TSH Global Plantation Pte Ltd.

Kedua-duanya menerima notis pada 23 Oktober lalu dan dikehendaki menyerahkan maklumat yang diminta selewat-lewatnya pada 2 November ini.

Notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 10(1) Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 Singapura.