PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini, memerintahkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) membayar kos RM5,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan kelewatan 27 hari memfailkan rekod rayuan berhubung fatwa Selangor yang mengisytiharkan dan mewartakan entiti korporat itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Keputusan itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan, selepas mendengar hujahan pihak GISBH selaku perayu dan AGC yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta Majlis Agama Islam Selangor selaku responden.

Peguam, Zulfikri Ulul Azmi, yang mewakili GISBH memohon lanjutan masa bagi membolehkan rekod rayuan berkenaan difailkan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menyedari draf indeks tidak dikemukakan, namun kesilapan itu sudah diperbetulkan.