BATU PAHAT: Seorang pekerja kedai makan yang juga bapa kepada dua anak berdepan hukuman mati selepas didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat lebih lima kilogram (kg) serta memiliki ketamin di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Lim Hon Ying, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan mengedar dadah itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar MDMA masing-masing seberat 3,090.24 gram (g) dan 2,056.44g di sebuah rumah di Jalan Putera Indah, Taman Putera Indah, Tongkang Pecah, di sini, pada jam 7.30 malam, 13 Oktober lalu.