KOTA BHARU: Tukang gunting Mursyidul Am PAS merangkap bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Abdul Hamid Sheikh Mubarak meninggal dunia, di usia 85 tahun, semalam.

Abdul Hamid meninggal dunia akibat kegagalan fungsi jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu jam 11.57 malam tadi.

Anak ke enam beliau, Ab Rahim Abdul Hamid berkata, bapanya dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas mengadu sesak nafas.

Katanya, bapanya turut bergantung kepada bekalan oksigen sebelum ini selepas mengalami pelbagai komplikasi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung selain sudah lanjut usia.