Kuala Lumpur: Insiden pembatalan pingat perak atlet lompat jauh para negara, Muhammad Nazmi Nasri akibat ketidakpatuhan spesifikasi kasut pertandingan perlu menjadi pengajaran besar buat kontinjen Malaysia supaya kesilapan sama tidak berulang pada temasya akan datang.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, Kelvin Than berkata, insiden itu dipercayai berlaku tanpa disengajakan, namun langkah pencegahan perlu diteliti bersama bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Beliau berkata, isu berkenaan akan dibawa kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk dianalisis sebelum tindakan pencegahan dikenal pasti.






