KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) akan bermesyuarat semula selepas menerima pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata AGC diberikan tempoh dua minggu untuk memperincikan maklum balasnya.

"Memandangkan PSSC dianggotai ahli daripada kerajaan dan pembangkang, AGC diberikan tempoh dua minggu untuk mengemukakan maklum balasnya. Minggu depan, sebaik sahaja kita menerima jawapan mereka, saya akan mengadakan satu lagi mesyuarat PSSC.

"Ahli parti juga boleh berhubung dengan wakil masing-masing dalam jawatankuasa itu untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai isu perundangan yang terbabit," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.