Kuala Lumpur: Selepas sekian lama tidak bergandingan, kerinduan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, untuk kembali beraksi bersama terubat dengan penuh bermakna apabila mereka mencipta kejutan menjuarai Terbuka Perancis di Arena Grand Paris, semalam.
Wei Chong berkata, mereka tidak terlalu memikirkan soal kemenangan atau kekalahan ketika turun berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, sebaliknya hanya mahu memberikan aksi terbaik dan berjuang mendapatkan setiap mata.
"Kami sedar kami adalah pasangan bukan pilihan. Jadi, kami hanya mahu memberikan aksi terbaik dan cuba mendapatkan setiap mata," katanya kepada BWF selepas perlawanan.
Sementara itu, Kai Wun berkata, peningkatan konsistensi menjadi antara faktor penting yang membantu mereka mengharungi cabaran di Paris, dengan fokus diberikan kepada setiap perlawanan dan usaha memberikan yang terbaik hingga ke mata terakhir.









