KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama tidak bergandingan, kerinduan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, untuk kembali beraksi bersama terubat dengan penuh bermakna apabila mereka mencipta kejutan menjuarai Terbuka Perancis di Arena Grand Paris, semalam.
Wei Chong berkata, mereka tidak terlalu memikirkan soal kemenangan atau kekalahan ketika turun berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, sebaliknya hanya mahu memberikan aksi terbaik dan berjuang mendapatkan setiap mata.
"Kami sedar kami adalah pasangan bukan pilihan. Jadi, kami hanya mahu memberikan aksi terbaik dan cuba mendapatkan setiap mata.
"Kami bangga dapat mencipta sejarah menerusi pertembungan sesama Malaysia di final Terbuka Perancis ini. Saya juga berharap lebih banyak pasangan dari Malaysia dapat bersaing bersama-sama kami," kata Wei Chong kepada BWF selepas perlawanan.







