ALOR SETAR: Tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah susulan peningkatan jumlah mangsa banjir, setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan setakat ini, sebanyak 224 mangsa daripada 74 keluarga dari daerah Yan, Kuala Muda dan Pendang ditempatkan di lima PPS.

Di Yan, tiga PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi yang menempatkan 101 mangsa daripada 29 keluarga, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Eng (41 mangsa daripada 21 keluarga) dan Dewan Lestari Guar Chempedak (26 mangsa daripada sembilan keluarga).

Sementara itu, di Kuala Muda, sebanyak 40 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Surau As Saadiah, manakala di Pendang sebanyak 16 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di Dewan KEDA Tanjung Setol.