Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan pengawasan, rondaan dan kesiapsiagaan secara berterusan bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat dan terbuka.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pendekatan kementerian adalah memastikan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap sewajarnya, selaras dengan perkembangan keselamatan semasa.

Menurutnya, bagi usaha di peringkat serantau, Malaysia turut memperkukuh pengawasan Selat Melaka bersama Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Usaha melalui pengawasan, perkongsian maklumat, kerjasama serantau dan diplomasi akan terus diperkukuh bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat, stabil dan terbuka demi menjamin kepentingan negara dan kelancaran perdagangan antarabangsa," katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.