SHAH ALAM – Rayuan seorang lelaki yang mengaku melepaskan tembakan terhadap isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mencederakan seorang pengawal peribadi supaya hukuman penjaranya dikira dari tarikh tangkapan di Kota Bharu pada 2024, ditolak Mahkamah Tinggi di sini.Hakim, Datuk Shamsulbahri Ibrahim memutuskan perintah Mahkamah Sesyen Sepang yang mengarahkan hukuman penjara terhadap Hafizul Hawari bermula selepas menjalani hukuman bagi kes di Kota Bharu sebagai sah dan adil.Di Sepang, lelaki itu berdepan dua kes iaitu melepaskan tembakan dan mencederakan individu manakala di Kota Bharu pula, dia didakwa atas tujuh kes memiliki senjata, kad pengenalan dan memandu kereta nombor pendaftaran palsu.Bagi kes di Kota Bharu, dia dihukum penjara enam tahun bermula dari tarikh tangkapan dan enam sebatan sementara tujuh tahun penjara bagi kes di Sepang.Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kes Sepang berjalan selepas tamat hukuman bagi kes di Kota Bharu.Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia merayu agar hukuman bagi kes Sepang berjalan serentak dengan kes di Kota Bharu.Menerusi keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Isnin minggu lalu, Shamsulbahri menegaskan, pengiraan hukuman dari tarikh tangkapan bukanlah hak automatik seseorang yang disabitkan kesalahan, sebaliknya tertakluk kepada budi bicara hakim berdasarkan fakta dan keadaan setiap kes."Keputusan mahkamah rendah tidak menyalahi undang-undang kerana peruntukan berkenaan membenarkan hukuman penjara baharu dimulakan selepas hukuman terdahulu selesai," katanya.Shamsulbahri berpendapat, hukuman berkenaan selaras dengan Seksyen 292 Kanun Tatacara Jenayah.Katanya, perkara berkenaan memberi mahkamah kuasa menentukan sama ada hukuman penjara terhadap seseorang yang sedang menjalani hukuman terdahulu perlu bermula serta-merta atau selepas hukuman sedia ada selesai.Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, rayuan Hafizul ditolak dan perintah Mahkamah Sesyen Sepang bertarikh 5 Disember 2025 dikekalkan.Hafizul sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sepang pada 5 Disember 2025 iaitu cubaan membunuh isterinya, Farah Md Isa, 39, dan menyebabkan kecederaan parah terhadap pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini, menggunakan senjata api.Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, manakala tujuh tahun bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata api mengikut Seksyen 326 kanun sama.Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak antara satu sama lain, namun selepas selesai menjalani hukuman penjara yang dikenakan dalam prosiding jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.Hafizul merayu terhadap keputusan berhubung tarikh permulaan hukuman itu, bukannya sabitan atau tempoh pemenjaraan yang dikenakan.Dalam rayuannya, pihak pembelaan berhujah Hafizul telah ditahan tanpa jaminan sejak 15 April 2024 hingga 5 Disember 2025,