KUALA LUMPUR: Ahli keluarga dan penyokong Noorizwan Zulkefly akan berarak ke Parlimen esok bagi menuntut keadilan atas kematiannya ketika dalam tahanan polis dan mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis.
Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljunied berkata, perarakan anjuran pihaknya itu akan disertai keluarga dan rakan Noorizwan, pertubuhan masyarakat sivil, peguam serta rakyat prihatin.
Katanya, mereka akan menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen bagi menuntut pihak berkaitan dipertanggungjawabkan.
"Siasatan kes itu belum diklasifikasikan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Malah, tiada pegawai polis digantung tugas atau ditahan selepas kematian Noorizwan dalam tahanan polis pada 1 Oktober lalu. Jadi, keadilan belum ditegakkan," katanya kepada media.








