Kuala Lumpur : Juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid Baharuddin, 46, sudah biasa 'tebalkan telinga' berhadapan pertanyaan mengenai pilihannya menjadi penyanyi kelab sejak tiga tahun lalu.
Zahid yang menjuarai AF2 pada 2004, tidak menafikan memang ada segelintir orang memandang penyanyi kelab itu 'bertaraf rendah', namun ramai terlepas pandang sisi positif di sebaliknya.
"Sudah tiga tahun saya menyanyi di kelab sampai sekarang, dan saya sedikit pun tidak berasa 'downgrade' dengan status ini. Menyanyi di kelab adalah satu tempat yang saya boleh ekspresi macam-macam.
"Antaranya, saya boleh ekspresi lagu, cara nyanyian, cara persembahan dan cara saya melayan orang dekat situ (kelab), sebab berbeza dengan 'show' acara hiburan kerana pengunjungnya ada pelancong dari pelbagai negara.








