Kuala Lumpur: Pasangan profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing enggan menjadikan kekalahan pada final Terbuka Perancis sebagai alasan untuk mengalah, sebaliknya bertekad terus memperbaiki kelemahan demi memburu kemenangan ke atas lawan yang sukar ditundukkan itu.
Jelas Pei Jing , mereka sudah merencana pelbagai strategi setiap kali bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, namun masih belum menemui formula terbaik untuk mengatasi lawan berkenaan.
"Sebenarnya, setiap kali kami bertemu mereka, kami cuba sedaya upaya dan mencuba strategi baharu. Tetapi, mereka memang terlalu sukar untuk kami tewaskan.
"Apa pun, kami tidak akan berputus asa sehingga suatu hari nanti kami berjaya menewaskan mereka. Yang pasti, kita jangan cepat mengalah," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).









