KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh secara beransur-ansur ke paras RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 12 bulan akan datang, disokong asas pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh, inflasi terkawal dan aliran masuk modal berterusan.

Hong Leong Bank Bhd (HLB) dalam kenyataannya berkata, Belanjawan 2027 dijangka menyokong pengukuhan mata wang tempatan itu selaras dengan prospek positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Bank itu turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak lima peratus pada tahun depan, dengan Belanjawan 2027 menyediakan hala tuju strategik untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi di samping mengekalkan disiplin fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.