PETALING JAYA: Revenue IF Bhd (Revenue) menjalin kerjasama dengan Assets Singularity Technology Holding Limited (ATT) bagi meneroka projek pembayaran dan penerbitan bon renminbi (RMB) di luar China, sekali gus memperluas jangkauan antarabangsanya.

Revenue dalam satu kenyataan berkata, perjanjian rangka kerja itu memberi kumpulan teknologi pembayaran berkenaan akses kepada institusi sektor awam, institusi kewangan dan perusahaan dalam rangkaian ATT.

Kerjasama berkenaan merangkumi keselamatan pembayaran dan identiti digital, pemerolehan pedagang, pemprosesan transaksi, penjelasan serta penyelesaian transaksi dan pembayaran rentas sempadan.

Bagi projek bon RMB, ATT akan memanfaatkan lesen pembayaran Revenue di Malaysia, selain penyelesaian dan infrastruktur pembayaran kumpulan itu bagi perkhidmatan tempatan serta penyepaduan sistem pembayaran rentas sempadan.