JITRA – Seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Lembah Keriang susulan banjir yang melanda daerah Kubang Pasu sejak petang semalam.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga emas yang lumpuh dari Kampung Baru, Changlun dekat sini turut dipindahkan ke rumah anaknya dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi memastikan keselamatannya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, banjir kilat itu berlaku selepas hujan lebat berserta kilat bermula kira-kira pukul 3 petang semalam di beberapa kawasan.

“Air melimpah ke jalan berikutan hujan lebat dan sistem perparitan,” katanya di sini, hari ini.