Kuala Lumpur: Pelancaran skim Pelan MediAsas pada Januari 2027 bakal menyediakan jaringan keselamatan kewangan dan kesihatan kepada golongan pertengahan (M40) di Malaysia yang dihimpit inflasi perubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelan berkenaan bakal memberi pelindungan kepada golongan M40 dengan kawalan kos yang telus tanpa caj tersembunyi mahupun melampau.
"Ketika ini sejumlah 340,000 polisi insurans swasta dilepaskan (surrender) oleh pemegang polisi akibat tidak mampu membayar premium swasta dan rakyat membanjiri fasiliti kerajaan, justeru kementerian tampil dengan jaringan keselamatan kewangan ini.
"Tiada rakyat yang patut jatuh miskin hanya kerana mahu berubat, justeru perlindungan kewangan kesihatan MADANI ini tampil dengan menawarkan skim perlindungan asas mampu milik," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.









