KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji yang mengatasi inflasi mungkin menunjukkan kuasa beli bertambah, namun belum tentu mencukupi untuk membuatkan rakyat berasa lebih kaya atau sejahtera.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi, berkata beberapa faktor psikologi dan struktur ekonomi menyebabkan pertumbuhan gaji sebenar tidak sentiasa diterjemahkan kepada persepsi kehidupan yang lebih baik.
Beliau mengemukakan pandangan itu menerusi catatan di platform X sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, mengenai hubungan antara pendapatan dengan kos sara hidup.
Ketika sesi dialog pada Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Global Forbes di Singapura, 8 Oktober lalu, Wong berkata kos dan pendapatan adalah dua sisi daripada mata wang yang sama.









