suliati@hmetro.com.my

RUMAH bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya ruang yang sepatutnya mencerminkan siapa penghuninya.

Namun, ketika trend dekorasi silih berganti di media sosial, ramai pemilik kediaman mudah terikut-ikut dengan gaya yang dianggap menarik dan moden tanpa memikirkan sama ada ia benar-benar sesuai dengan keperluan serta personaliti sendiri atau sebaliknya.

Menurut Ketua Pusat Pengajian Senibina dan Perancangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor IDr Ts Dr Rostam Yaman, reka bentuk rumah mempunyai hubungan rapat dengan personaliti, gaya hidup dan karakter penghuninya.

Beliau yang mempunyai pengalaman 32 tahun dalam bidang reka bentuk dalaman dan persekitaran berkata, rumah adalah ruang peribadi yang boleh dianggap sebagai manifestasi fizikal jiwa dan psikologi penghuninya.