Perth: Seorang lelaki didakwa di mahkamah selepas disyaki menceroboh tandas wanita di sebuah restoran Betty Burgers sebelum merakam seorang wanita di dalam kubikel menggunakan telefon bimbit, lapor news.com.au.
Jurucakap polis berkata, wanita berkenaan mengekori lelaki itu keluar dari restoran berkenaan hingga ke pusat beli-belah di Forrest Chase, di kawasan pusat bandar (CBD) Perth, sebelum suspek melarikan diri kira-kira jam 5.30 petang pada 20 September.
Menurutnya, polis yang menerima laporan berhubung kejadian kemudian bergegas ke lokasi dan menahan seorang lelaki berusia 21 tahun dari Wattle Grove sebelum membawanya ke dalam tahanan.
Lelaki itu didakwa menggunakan peranti pengawasan optik untuk merakam aktiviti peribadi dan dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Perth pada 21 Oktober ini.






