SEPANG - Bahang Formula Satu (F1) bukan sahaja semakin terasa di Litar Antarabangsa Sepang, malah turut melanda Kuala Lumpur apabila beberapa pasukan mengambil kesempatan meneroka ibu negara menjelang Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 bermulai hari ini hingga Ahad.Kehadiran pasukan F1 itu turut mencuri perhatian di media sosial apabila mereka berkongsi keterujaan berada di Kuala Lumpur menjelang hujung minggu perlumbaan, sekali gus memperkenalkan sisi lain ibu negara kepada peminat sukan permotoran di seluruh dunia.Antara pasukan yang berkongsi pengalaman mereka di Malaysia ialah Ferrari, McLaren, Audi, Haas dan Aston Martin.Menerusi hantaran di media sosial, lokasi ikonik seperti Menara Berkembar Petronas, Dataran Merdeka, Pasar Seni, Bukit Bintang, Tokong Thean Hou dan Batu Caves menjadi antara tarikan yang diketengahkan, sekali gus memaparkan warna-warni serta keunikan Kuala Lumpur.Jalan Alor di Bukit Bintang yang terkenal antara syurga makanan ibu negara turut mendapat perhatian, memberikan gambaran kepada peminat mengenai tarikan boleh dinikmati di luar aksi perlumbaan.Seorang pengguna Instagram, @ilyanarsm, menyifatkan video McLaren bertajuk Ticking off the sights in Malaysia seperti video promosi pelancongan."Macam video promote tourism," menurut hantarannya."Yess! Thank you for showing off Kuala Lumpur!!," tulis @kualalumpurcity dalam ruangan komen hantaran sama.Sementara itu, @mei.ylee menerusi hantaran Aston Martin menulis "absolutely obsessed with the content of KL", manakala @denis.tucu pula memberi komen "wow these are absolutely stunning" pada hantaran Audi.Bukan hanya pasukan, barisan pelumba F1 turut memanfaatkan masa berada di Malaysia untuk berehat dan menikmati tarikan tempatan sebelum berentap dalam aksi berkelajuan tinggi di Sepang.Pelumba Mercedes George Russell berkongsi gambar percutiannya di Langkawi, Kedah bersama beberapa pelumba lain termasuk juara dunia Lando Norris dan rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri.Turut bersama mereka ialah gandingan Williams Carlos Sainz dan Alex Albon, Oliver Bearman dari Haas serta pelumba Audi Gabriel Bortoleto.Rakan sepasukan Russell di Mercedes yang juga pendahulu kejuaraan pelumba ketika ini, Kimi Antonelli pula meluangkan masa mengunjungi sebuah taman tema air di Kuala Langat, Selangor.Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.Persetujuan itu membolehkan GP Gulf Air Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.- Bernama