Sepang: Bahang Formula Satu (F1) bukan sahaja semakin terasa di Litar Antarabangsa Sepang, malah turut melanda Kuala Lumpur apabila beberapa pasukan mengambil kesempatan meneroka ibu negara menjelang Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 bermula hari ini hingga Ahad.

Kehadiran pasukan F1 itu turut mencuri perhatian di media sosial apabila mereka berkongsi keterujaan berada di Kuala Lumpur menjelang hujung minggu perlumbaan, sekali gus memperkenalkan sisi lain ibu negara kepada peminat sukan permotoran di seluruh dunia.

Antara pasukan yang berkongsi pengalaman mereka di Malaysia ialah Ferrari, McLaren, Audi, Haas dan Aston Martin.

Menerusi hantaran di media sosial, lokasi ikonik seperti Menara Berkembar Petronas, Dataran Merdeka, Pasar Seni, Bukit Bintang, Tokong Thean Hou dan Batu Caves menjadi antara tarikan yang diketengahkan, sekali gus memaparkan warna-warni serta keunikan Kuala Lumpur.