KUANTAN: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Raub bagi menempatkan mangsa terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan semalam.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, setakat 12.16 tengah malam tadi, 26 mangsa daripada 11 keluarga telah dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Baru Cheroh dan Balai Raya Sempam Baru yang dibuka sejak 7.30 malam.
"Daripada jumlah itu, lapan rumah terjejas di Kampung Cheroh, manakala tiga lagi di Kampung Sempam Baru," menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, APM Raub turut bergerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat, memasang kubikel serta menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mangsa.








