Kuala Lumpur: Beregu wanita remaja negara, Low Zi Yu-Genevie Lim membuktikan ketenangan ketika berdepan situasi tegang menjadi kunci kejayaan apabila mencipta sejarah buat pertama kali merangkul gelaran juara dalam acara berkenaan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 di Kaherah, Mesir, semalam.
Bagi Zi Yu, perlawanan akhir itu amat mencabar dan memberikan tekanan hebat sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi set penentuan, namun dia dan Genevie cuba mengawal keadaan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan kesilapan mudah.
Malah, dalam situasi tegang itu, dirinya turut terfikir bahawa mereka mungkin bakal meraih pingat perak buat kali ketiga berturut-turut sekiranya tewas dalam perlawanan berkenaan.






