SABAK BERNAM – Seorang lelaki maut selepas kereta Honda City dipandunya merempuh belakang lori tiga tan di Tali Air 10, Pasir Panjang, Sekinchan, di sini awal pagi tadi.
Mangsa berusia 23 tahun yang tersepit di bahagian pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 1.31 pagi.
Katanya, bomba yang tiba tujuh minit kemudian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori tiga tan.










